Ditulis oleh Muhammad Nadim Adam (1974-2015). Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah…

Tahun 2010 semakin melabuhkan tirainya. Dan tahun 2011 kini menjanjikan fatamorgana harapan baru dan juga impian-impian yang masih belum terlaksana oleh masyarakat Melayu Islam kita khususnya.

Hari ini, penulis tumpang berbangga dengan senarai “50 Individu Melayu Islam” di Singapura yang dikenalpasti sebagai anggota masyarakat yang dijangka mampu untuk meningkatkan sumbangan mereka kepada masyarakat Melayu dan negara di dalam pelbagai lapangan (Berita Harian, 25 Disember 2010).

Prestasi anak-anak Melayu Islam setempat, terutamanya di peringkat “O-Level” dan juga “A-Level” juga memberangsangkan, dengan para pelajar Melayu kita menunjukkkan peningkatan paling ketara jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar kelompok etnik yang lain, di dalam kedua-dua peperiksaan sepanjang tahun 2000-2009. Malah peratusan kohort pelajar Melayu yang berjaya ke institusi pos-menengah juga meningkat dari 70 peratus pada tahun 2000, kepada 85 peratus pada tahun 2009 (The Straits Times, 21 Disember 2010).

Jangan Lupa Pandang Belakang

Namun dalam keceriaan kita meraikan golongan karyawan Melayu Islam yang semakin menonjol di kalangan kita dan juga semakin terhapusnya stigma bahawa pelajar Melayu Islam tidak dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pelajar-pelajar bangsa lain di dalam pencapaian akademik, masih ada di kalangan masyarakat Melayu Islam kita yang terpinggir.

Hakikatnya, jurang di antara golongan Melayu Islam yang berjaya di dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing, jika dibandingkan dengan mereka yang kurang berjaya di dalam pelbagai spektrum kehidupan sehari-hari tampaknya semakin ketara. Di luar sana masih ada golongan Melayu Islam yang mempunyai institusi keluarga yang berantakan, masih wujud warga kita yang masih tidak mempunyai tempat berteduh yang tetap, dan anak-anak yang terkesan akibat perceraian kedua ibu-bapa mereka.

Tragedi yang menimpa Allahyarham Danish Iman Abdullah mengingatkan kita semua bahawa perjuangan masyarakat Melayu Singapura masih belum selesai. Kisah sedih yang menimpa Allahyarham Danish bukan semata-mata manifestasi sebuah kes penderaan kanak-kanak. Namun apa yang menimbulkan keprihatinan di sini adalah nasib anak-anak yang di kalangan kita yang melalui saat-saat getir tatkala menghadapi situasi pos-perceraian kedua ibubapa mereka.

Mengikut Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian 2009 oleh Jabatan Statistik Singapura, kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di Singapura berkurangan buat kali ketiga berturut-turut sepanjang tempoh tahun 2007-2009, iaitu dari 1,747 kes perceraian (2007) kepada 1,697 (2008) dan 1,631 (2009). Namun, pada hakikatnya, kes-kes perceraian tersebut juga membabitkan anak-anak yang masih dahagakan bimbingan dan perlindungan yang sewajarnya daripada pihak yang diamanahkan untuk menjaga mereka.

Menurut perangkaan rasmi dari pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), di antara tahun 2005-2009, sekitar 70 peratus kes-kes perceraian yangdifailkan di Mahkamah Syariah di Singapura membabitkan pasangan yang mempunyai anak. Dan di kalangan anak-anak itu, dianggarkan dalam 2,600 tergolong dari mereka yang berusia di bawah 21 tahun. Oleh yang demikian, pada hari ini, dapatkah kita berasa yakin bahawa nasib anak-anak ini sudah dipantau dan dibela secara sistematik dan konsisten?

Mungkin sebagai warga yang sudah terbiasa dengan mengharapkan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh oleh agensi-agensi pemerintah, kita terus menanti dengan penuh harapan. Tetapi bagaimana pula peranan kita sebagai warga yang sebenarnya mampu memainkan peranan yang lebih proaktif lagi? Haruskah kita menanti tragedi menimpa, seperti apa yang berlaku kepada Allahyarham Danish Iman Abdullah¹, atau Allahyarhamah Nur Asyura Mohamed Fauzi (Nonoi)² misalnya, barulah kita sibuk hendak terngadah?

Ekologi Persekitaran Yang Lebih Peduli

Seorang sasterawan Inggeris, John Donne (1572-1631M), dalam bait-bait puisinya ada berkata,

“No man is an island, entire of itself; every man is a piece of the continent”

Dalam erti kata lain, manusia tidak mampu hidup secara sendirian, atau hidup secara insular dan eksklusif semata-mata. Manakala pengertian yang lebih meluas yang dimaksudkan di sini adalah pentingnya hidup bermasyarakat.

Oleh demikian, maka Menteri Negara (Pendidikan merangkap Ehwal dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyeru supaya agensi masyarakat seperti sekolah, karyawan perubatan, pihak polis, pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) dan orang ramai umumnya harus memainkan peranan mengesan, campurtangan dan melaporkan kes-kes penderaan kanak-kanak (Berita Harian, 29 Disember 2010).

Namun pada hemat penulis, keprihatinan masyarakat tidak harus hanya tertumpu kepada kes penderaan terhadap kanak-kanak sahaja. Malah kes-kes keganasan rumahtangga juga harus diberikan perhatian yang sama serius dan sewajarnya. Ini adalah kerana semakin banyak kajian sosio-akademik di luar sana yang merumuskan bahawa adanya kaitan yang kukuh di antara permasalahan keganasan di rumah (di antara pasangan yang berkesedudukan, sama ada sudah berkahwin ataupun belum) yang akhirnya membabitkan kes penderaan ke atas kanak-kanak di bawah jagaan pasangan dewasa tersebut.

Menurut sebuah kajian di Amerika Syarikat, kaum wanita yang sering dipukul-bantai oleh pasangannya, mempunyai dua kali ganda potensi untuk memukul atau mendera anak-anak mereka sendiri, sebagai reaksi terhadap keganasan yang telah dilakukan ke atas diri mereka. Manakala tahap penderaan yang dilakukan ke atas kanak-kanak tersebut biasanya juga bergantung kepada tahap penderaan yang dilalui oleh si ibu akibat deraan yang dilakukan oleh pasangannya. Dan bagi kanak-kanak yang didera itu pula, tatkala umur mereka meningkat dewasa, ditakuti bahawa mereka bakal mempercayai bahawa hanya melalui keganasan yang dapat mereka perolehi apa juga yang ingin dihajati. Lantas, kemungkinan putaran keganasan di dalam institusi kekeluargaan tersebut terus berlanjutan ke generasi mendatang menjadi semakin tinggi (“The Link Between Child Abuse and Domestic Violence” dalam Child Protection Leader, September 1994).

Sebuah lagi kajian yang lebih terkini pula melihat kadar pengangguran di kalangan anggota masyarakat bukan sahaja membawa permasalahan kepada sektor ekonomi, tetapi juga mampu menjejas tahap fizikal, emosi dan juga mental anak-anak golongan ibu-bapa yang menganggur. Di dalam kajian yang sama, dianggarkan bahawa bagi setiap 1 peratus tahap kenaikan kadar pengangguran di kalangan ibubapa, akan juga meningkatkan kemungkinan 0.05 peratus bagi kanak-kanak di bawah jagaan ibubapa itu untuk dikasari oleh orang tua mereka sendiri akibat kekecewaan menghadapi hidup tanpa pekerjaan atau kesempitan wang (kajian yang dibentangkan oleh Robert Sege, dalam The American Academy of Pediatric National Conference and Exhibition di San Francisco pada tahun 2009).

Maka di dalam konteks Singapura, khususnya terhadap golongan masyarakat Melayu Islam setempat, para ahli akademik, pengkaji dasar dan juga aktivis mayarakat, kita seharusnya meningkatkan peranan untuk mendapatkan data yang lebih menyeluruh yang membabitkan pasangan Melayu yang berhadapan dengan masalah keganasan rumahtangga. Di samping itu, pendekatan yang lebih holistik juga harus dilakukan supaya masyarakat kita tidak hanya selesa untuk mencari huraian secara preskriptif, dan oleh yang demikian hanya memberi tumpuan kepada program-program yang sedia ada sahaja. Natijahnya, permasalahan sosial dan struktural, seperti fenomena pernikahan di kalangan remaja Melayu Islam dan situasi pengangguran harus diberi perhatian yang lebih mendalam, dan agar cara penyelesaiannya dapat dilaksanakan secara berterusan (sustainable solutions).

Menjana Budaya Masyarakat Yang Bagaimana?

Masalah penderaan kanak-kanak di kalangan anggota masyarakat kita, dan juga masalah penderaan kanak-kanak secara umumnya, tidak tertakluk kepada sesuatu bangsa atau etnik. Ia merupakan permasalahan yang bersifat universal, yang berlaku di negara-negara maju dan juga membangun, di tengah-tengah kotaraya, mahupun di pinggirian-pinggiran bandar ataupun di ceruk-ceruk desa.

Fenomena penderaan kanak-kanak berlaku akibat suatu proses yang kompleks. Melalui konteks sosio-budaya, kronik atau tidaknya situasi penderaan terhadap kanak-kanak mahupun keganasan rumahtangga secara umumnya bergantung kepada:

1) Sikap masyarakat terhadap kanak-kanak.
2) Sikap masyarakat terhadap keluarga
3) Sikap masyarakat terhadap budaya keganasan itu sendiri

Pelbagai kajian juga ada menunjukkan bahawa sikap keganasan seseorang itu sebenarnya amat bergantung kepada tahap emosi dan mentalnya, baik dari segi psikologi mahupun tahap psikopatologinya pada ketika dia melakukan keganasan tersebut. Dan tahap mental itu sebenarnya banyak dipengaruhi oleh desakan persekitarannya, mungkin akibat tekanan hidup, kesempitan wang, masalah dengan pasangan, kurang kematangan dan aspek-aspek menekan yang lain.

Biasanya, tekanan-tekanan tersebut berlaku akibat kurang bekalan atau persediaan dalam melayari kehidupan, seperti permasalahan akibat tahap pendidikan yang rendah sehingga menyebabkan perasaan rendah diri (low self-esteem), masalah berinteraksi dengan anggota masyarakat yang lain (socially awkward) dan juga kurangnya penguasaan aspek modal sosial (social capital/networking) di dalam menangani kehidupan sehari-hari.

Natijahnya, faktor-faktor persekitaran (ekologi) dan perkembangan kognitif seseorang individu itu amatlah penting di dalam mempengaruhi tindak-tanduknya di dalam mencorakkan situasi keluarganya sendiri. Dan bentuk sesebuah keluarga itu banyak menentukan anak-anak yang stabil dan bahagia, menjadikan keluarga sebagai ikon kehidupan mereka, atau institusi keluarga itu juga boleh menjadi suatu mimpi yang ngeri buat sesetengah individu. Lebih malang lagi, ada sebahagian anak-anak ini yang tidak lagi mampu menceritakan mimpi-mimpi ngeri mereka, kerana yang nyatanya, mereka telah pergi meninggalkan kita.

Maka, di manakah generasi peduli yang digahkan itu? Siapa mereka yang benar-benar peduli di antara kita? Atau sekadar bersembunyi di sebalik kata-kata retorik semata?

(Al-Fateha buat Allahyarham Danish Iman Abdullah, Allahyarhamah Nonoi, dan rakan-rakan yang seangkatan dengan mereka yang telah pergi meninggalkan kita, dan tidak akan kembali).

 

Endnotes:

1 Muhammad Rafiq Jaffah, 23, masih ditahan oleh pihak polis atas kematian anak temanitanya, Allahyarham Danish Iman Abdullah, 3, selepas memukul teruk kanak-kanak itu di sebuah rumah kedai di Geylang Road pada 15 Disember 2010, sehingga patah kaki kirinya dan meninggal dunia akibat pendarahan otak, selepas enam hari bertarung nyawa dan tidak sedarkan diri, semasa dihantar ke Pusat Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kanak-Kanak Kandang Kerbau (KKH).

2 Mohammed Ali Johari telah melalui hukuman gantung pada penghujung tahun 2008, setelah didapati bersalah membunuh anak tirinya, Allahyarhamah Nur Asyura Mohamed Fauzi (Nonoi). Mohammed Ali Johari mengaku menampar dan menumbuk anak tirinya itu kerana tidak mahu berhenti menangis di kediaman mereka di Pipit Road, dan akhirnya membenamkan kepala anak itu ke dalam baldi yang berisi air sebanyak tiga kali sebelum anak itu terkulai tidak bernyawa.