Tabir Agama
Sebuah rencana dalam segmen Fokus Berita Minggu yang bertajuk “Curang Dalam Rumah Tangga” telah disiarkan pada Ahad, 14 Ogos 2005 lalu. Melaluinya, kedangkalan pemikiran segolongan kaum Hawa dalam masyarakat Melayu kita telah terserlah. Pertama sekali, dua daripada isteri-isteri yang telah diceritakan sebagai memberi izin suami mereka bernikah lagi dikatakan telah berbuat demikian kerana “takut bersubahat menanggung dosa suami mereka berzina”. Memandangkan bahawa alasan ini amat meluas penggunaannya, baik oleh kaum Adam mahupun kaum Hawa, dalam meminta atau memberi keizinan berpoligami, pihak MUIS dan badan-badan kemasyarakatan kita bertanggungjawab mencelikkan mata wanita-wanita malang ini daripada terus dibodoh-bodohkan oleh suami-suami mereka. Perlu disiasat dari manakah wanita-wanita ini mendapat pendidikan agama atau siapakah yang telah menzalimi mereka dengan memberi mereka nasihat-nasihat yang sedemikian. Perlu juga disedari bahawa sekiranya masyarakat bangsa lain terbaca berita-berita seperti ini dan meyakini bahawa agama kita mengajarkan yang sedemikian, maka kewibawaan agama dan bangsa kita di mata mereka akan terjejas. Yang jelas, hanya ibu bapa yang harus menanggung dosa perbuatan anak-anak mereka yang belum baligh dan pihak SUAMI yang harus menanggung dosa isteri yang melanggar hukum-hukum agama. Itulah sebabnya golongan bapa dan suami diberi status ketua keluarga.
Di Balik Tabir
Namun demikian, dapat juga dicurigai bahawa isteri-isteri berkenaan hanya menggunakan ajaran agama sebagai alasan kerana sebenarnya masih terlalu sayang dan tidak mahu kehilangan suami mereka. Dengan berselindung di sebalik agama, mereka berharap dapat kelihatan sebagai isteri yang soleh dan bukan isteri yang bodoh. Jika memang ini hakikatnya, maka sekali lagi wanita-wanita ini harus dicelikkan bahawa mereka telah memburukkan lagi keadaan kerana kini alasan yang mereka gunakan itu bukan sahaja tetap membuat mereka kelihatan bodoh tetapi juga memberi agama kita reputasi yang buruk. Kaum wanita kita harus disedarkan bahawa dengan bersikap “lemah mental” seperti itu, mereka sebenarnya telah bersubahat menjahanamkan bangsa kita dengan memberi kewenangan kepada lelaki yang tidak berkemampuan baik dari segi kewangan mahupun kematangan untuk memuaskan nafsu yang tidak terkawal sehingga mencelakakan wanita-wanita lain, menimbulkan bermacam-macam masalah sosial dan menjatuhkan maruah bangsa dan agama. Sebagaimana yang dipaparkan dalam rencana, isteri-isteri muda atau wanita simpanan mereka itu akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Ini pasti meningkatkan kadar pengguguran kandungan dan masalah anak-anak yang terbiar.
Tiupan Angin
Apa yang menambah lagi kekesalan dan kekecewaan ialah penulis rencana telah cuba menyarankan jalan keluar dari masalah ini dengan menyenaraikan kesalahan-kesalahan kaum isteri yang dianggap menjadi punca kecurangan suami. Sudahlah isteri-isteri itu dizalimi suami-suami mereka, penulis menggores lagi luka mereka dengan menyenaraikan kesalahan mereka pula. Secara tidak langsung, penulis telah mengisytiharkan bahawa suami-suami curang kerana didorong oleh isteri-isteri mereka sendiri. Ini jelas menunjukkan bahawa pemikiran kuno yang berpegang kepada prinsip “suami kau lari sebab kau tak pandai jaga suami” masih bernyala dan dikipas-kipaskan. Dengan penerimaannya yang meluas di kalangan masyarakat kita, peluang terbuka luas bagi golongan suami untuk berbuat sesuka hati kerana apapun yang mereka lakukan, masyarakat akan menyalahkan isteri mereka.
Kesilauan
Dalam sebuah sesi dialog dengan beberapa orang pemimpin masyarakat kita, termasuk Dr. Yaacob Ibrahim, di NTU bulan Mei lalu, telah diumumkan bahawa hasil pemantauan menunjukkan bahawa sebahagian besar masalah sosial masyarakat kita berpunca dari keruntuhan rumah tangga yang disebabkan oleh kegagalan kaum suami melaksanakan tanggungjawab. Bukankah ini sudah jelas membuktikan bahawa kaum lelaki dan para suami dan calon-calon suami yang perlu diberi pendidikan dan kesedaran akan tanggungjawab mereka serta kesan-kesan buruk dari kegagalan mereka, bukan sahaja terhadap keluarga tetapi juga terhadap agama, masyarakat dan negara? Suatu program anjakan minda harus dirancang agar kaum lelaki lebih dipertanggungjawabkan di atas keruntuhan rumahtangganya agar sekurang-kurangnya seimbang kalau tidak lebih daripada tanggungjawab yang diberi kepada kaum isteri.
Bayang-bayang
Jika terdapat sesuatu yang tidak menyenangkan pihak suami terhadap isterinya, dia seharusnya berbincang dan berusaha mengatasi masalah itu di antara mereka dahulu. Begitu juga halnya jika ada sesuatu yang tidak disenangi oleh pihak isteri terhadap suaminya. Kekurangan pada pasangan masing-masing tidak harus dijadikan alasan untuk “balas dendam” dan “main kayu tiga”. Setiap pasangan suami-isteri harus disedarkan bahawa jika kesempurnaan yang mereka cari, bercerminlah dahulu dan tanya kepada diri mereka sendiri adakah mereka sendiri itu sempurna. Jika kesempurnaan tidak wujud pada pasangan mereka sendiri, adakah ia wujud pada diri orang yang mahu mereka jadikan pengganti pasangan mereka itu? Jika tidak, adakah mereka akan terus bertindak bertukar-tukar pasangan dengan alasan mencari kesempurnaan itu? Jika ini yang dilakukan, bagaimana pula dengan kesan tindakan mereka itu kepada masyarakat, bangsa dan negara?
Fokus
Keputusan “mencari lain” seharusnya hanya dipertimbangkan setelah rumahtangga itu benar-benar tidak dapat diselamatkan dan runtuh dengan sendirinya tanpa “bantuan” orang ketiga. Kehadiran orang ketiga pada tahap sesebuah rumahtangga itu hanya menunjukkan keretakan yang bermula dan akan mengaburi mata pasangan yang terlibat, menimbulkan penyesalan di kemudian hari dan diikuti dengan masalah sosial.
Mahkota Atau Kesat Kaki?
Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada kaum wanita Melayu kita agar bersikap lebih cekal, berkeyakinan diri dan mandiri supaya mereka lebih dihormati dan disegani dan tidak dijadikan “kesat kaki” kaum lelaki. Buangkanlah kebiasaan menyalahkan diri sendiri bagi setiap kesalahan suami kerana akibatnya sama buruknya dengan tabiat memanjakan anak secara keterlaluan. Tidaklah sekali-kali pula saya menganjurkan kaum wanita agar bersikap biadab terhadap suami-suami mereka, tetapi wanita harus merangsang kesedaran pada diri suami-suami mereka bahawa penghormatan itu harus diraih dan bukanlah anugerah.
**********