Tafkir, dari kata kerja fakkara/berfikir, membawa maksud proses atau upaya berfikir. Di dalam al-Qur’an, terdapat sejumlah ayat yang menekankan pentingnya posisi akal dalam upaya memikirkan persoalan manusia dan lingkungan kehidupannya. Tidak sukar untuk kita menemukan ayat-ayat peringatan seperti “afala ta‘qilun” (tidakkah kamu fikirkan) dan “la‘allakum tafakkarun“ (semoga kamu berfikir).

Jelaslah, upaya berfikir sangat diperlukan bagi pembangunan individu serta masyarakatnya. Kita tidak dapat menafikan adanya keterkaitan antara pembangunan dan corak pemikiran yang berlegar di kalangan masyarakat. Untuk mencapai tingkat pembangunan masyarakat yang progresif, diperlukan upaya mengembangkan semangat berfikir. Inilah yang menjadi pesan pemikir-pemikir Islam terkemuka seperti Jamaluddin al-Afghani di abad ke-19 dan Syed Hussein Alatas di abad ke-20.

Sayangnya, semangat tafkir ini kurang diberi perhatian di dalam masyarakat Islam hari ini. Maka yang sering terjadi bukanlah tafkir (upaya berfikir) tetapi takfir (upaya mengkafirkan seseorang, semata-mata kerana berbeza pendapat). Gejala konservatisme-fundamentalis yang melanda masyarakat Islam semenjak tiga abad yang lalu telah menyisihkan corak pemikiran yang cuba mengetengahkan nilai-nilai progresif dalam rangka membangunkan semula wawasan keislaman yang kritis, toleran, demokratik dan terbuka.

Di dalam situasi begini, perlulah digerakkan semula upaya berfikir, terutamanya di kalangan anak mudanya. Inilah yang menjadi keprihatinan utama penerbitan jurnal ini. Semangat dan upaya meneliti, menilai dan merumuskan persoalan-persoalan penting dalam masyarakat merupakan langkah pertama dalam proses membina masyarakat Islam yang terkedepan dan yakin diri dalam menghadapi perubahan pesat. Secara semula jadi, upaya ini akan menyemarakkan pemikiran yang rencam dan pelbagai. Ini bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti tetapi sebaliknya digarap supaya menjadi kekuatan dalam mencari huraian pada persoalan-persoalan penting dalam masyarakat.

Semoga tema-tema yang disajikan di dalam jurnal ini dapat merangsang dan membuka ruang berfikir bagi golongan muda. Sekiranya ruang ini terus disempitkan, maka korban utamanya ialah akal yang sihat. Tanpa akal yang sihat, segala persoalan akan menjadi kabur dan ‘yang perlu difikirkan’ terus terbenam menjadi ‘yang tidak difikirkan’ (atau “the unthought” dalam istilah pemikir Islam kontemporari, Mohammed Arkoun). Inilah bencana yang harus dihindarkan.

Selamat membaca!

Isi Kandungan

ARTIKEL UTAMA

Tradisi Kritis dalam Pemikiran Keagamaan dan Keintelektualan Muslim
Azhar Ibrahim Alwee

Islam Progresif: Wacana Pasca Arus Utama Indonesia
Ahmad Gaus AF

Fazlur Rahman: Perintis Tafsir Kontekstual
Mohamed Imran Mohamed Taib

Larangan Islam atas Perkosaan dalam Rumahtangga
Dr. Nur Rofiah

PERSPEKTIF

Menuju Islam Progresif: Mendialogkan Teks dan Realiti Sosial
M. Hilaly Basha

Dalam Lingkungan Progresif
Muhamad Zaki Jalil

Pesantren NU: Tempat Persemaian Islam Moderat atau Militan?
Syafiq Hasyim

Islam dan Isu Kontemporari
Dr. Asghar Ali Engineer

TOKOH

Intelektualisme Melayu, Pertarungan Wacana Agama dan
Budaya Politik Malaysia
Wawancara Bersama Fathi Aris Omar

ULASAN BUKU

Khaled Abou El Fadl, Hanya Tuhan Mengenal Tentera-Nya
Alfian Yasrif Kuchit