Upaya mengembangkan dan merancakkan wacana keislaman bukanlah suatu perkara mudah. Apatah lagi jika usaha tersebut mengambil posisi kritis dan mengusung perspektif-perspektif baru yang mungkin belum terbiasa di dalam masyarakat. Seringkali, perspektif baru mengganggu gugat corak pemikiran yang sudah mapan. Inilah yang menimbulkan kegelisahan dan keresahan sehingga muncul tanggapan-tanggapan negatif ataupun tuduhan-tuduhan liar yang bertujuan menarik masyarakat kembali ke ruang yang sudah terbiasa (sphere of familiarity). Inilah antara faktor yang melembabkan perkembangan pemikiran sehingga masyarakat dibelenggu oleh corak pemikiran yang relatif beku dan tidak berkembang selaras dengan perkembangan umum dunia dan perubahan konteks. Namun, apakah yang membuat seseorang itu berundur ke ruang yang sudah terbiasa dan takut menghadapi kemunculan perspektif-perspektif baru di dalam wacana keagamaan?

Kami berpendapat bahawa salah satu sebabnya ialah kegagalan membezakan antara ‘pemikiran keislaman’ (al-fikr al-Islami) dan ‘Islam’ itu sendiri. Di dalam hal ini, para ulama terdahulu sangat berhati-hati di dalam perbezaan ini sehingga mereka boleh sahaja berbeza pendapat tanpa perlu menuduh murtad dan sesat sesama sendiri. Perkembangan pemikiran keislaman di dalam cabang-cabang ilmu yang bermacam ragam – dari persoalan teologi kepada fikih kepada pemikiran sains, politik, sejarah dan etika – telah memperkayakan khazanah dan tradisi keilmuan Islam. Para ulama terdahulu juga mengambil sikap toleransi kritis di dalam memposisikan kebenaran pendapat masing-masing di dalam ruang yang diperdebatkan oleh ulama-ulama lainnya. Contoh terbaik sikap sebegini dapat dilihat di dalam ucapan Imam al-Syafi’i (w. 820) yang menyebut: “Pendapatku benar tetapi mungkin salah, sedangkan pendapat orang lain salah tetapi mungkin benar / ra’yi sawabun yahtamilu al-khata’a wa ra’yu ghayri khata’un yahtamilu al-sawaba.” Di dalam kitabnya, al-Mustasyfa, Imam al-Ghazali (w. 1111) menyebut kebenaran subjektif begini sebagai ‘kebenaran asumtif’ atau ma ghalaba ‘ala zhann al-mujtahid. Oleh itu, perbezaan pendapat yang terjadi sepanjang sejarah pemikiran Islam adalah perkara biasa dan dianggap sebagai sesuatu yang positif di dalam mendekatkan kita kepada Kebenaran Mutlak yang hanya milik Allah. Inilah yang menjadi dasar ungkapan “wallahu’alam bi sawab” (hanya Tuhan yang Maha Mengetahui) – supaya manusia tidak angkuh menyamakan kebenaran subjektif pada dirinya dengan Kebenaran Mutlak, lalu mula melakukan kekerasan dan kezaliman dalam menanggapi orang lain yang berbeza pandangan sehingga tuduhan kafir/murtad begitu mudah dilafazkan sesama sendiri.

Di satu sudut lain pula, masalah tiadanya daya meneroka pemikiran-pemikiran baru yang dapat memecahkan kelesuan pemikiran Islam masa kini berpunca juga dari kurangnya semangat yakin diri (tsiqah bi an-nafs) yang berleluasa semenjak peradaban Islam mulai kendur atas faktor kelemahan dalaman dan penjajahan dari kuasa-kuasa luar. Masalah yakin diri membuat seseorang lebih mudah mengundur ke dalam ruang yang selamat dan tidak berani meneroka perkara-perkara baru yang ditakuti akan melemahkannya lagi atau melusuhkan dirinya dengan anasir-anasir yang akan menghancurkan dirinya. Jika kita lihat, proses globalisasi dan peledakan informasi telah membuat segala macam produk, termasuk produk pemikiran, menjadi lambak sehingga seseorang yang tidak mempunyai pegangan dasar yang kuat akan mudah terjebak dengan arus-arus pemikiran yang akan mengabur dan mengelirukan. Sekali lagi, mengundurkan diri ke dalam ruang yang sudah terbiasa adalah lebih mudah daripada keluar meneroka ke dalam pemikiran-pemikiran yang ‘menakutkan’ kerana mengganggu gugat apa yang telah kita yakini tanpa kajian dan renungan yang mendalam.

Jadi, bagaimanakah kita dapat merancakkan pemikiran keislaman dan berinteraksi dengan pemikiran-pemikiran baru yang muncul selari dengan perubahan konteks dan perkembangan ilmu? Kami berpendapat bahawa tiada cara yang mudah kecuali menggalakkan anak-anak muda bereksperimentasi dan memberi ruang kebebasan untuk mengembangkan idea-idea baru tanpa perlu dihalang atau dimatikan semangat berwacana. Namun, ini tidak bermakna tidak perlu diadakan kriteria-kriteria yang ketat sehingga ‘pemikiran lambak’ (atau “mass man mentality” di dalam istilah ahli falsafah Sepanyol, Ortega y. Gasset) tidak dapat dibezakan dengan pemikiran sah berlandaskan kajian, pembacaan yang luas, hujah yang kuat, dan renungan yang mendalam. Di sini, penting kita nyatakan bahawa sesiapa sahaja yang mahu berkontribusi di dalam wacana keislaman seharusnya mempunyai (1) asas ilmu yang kuat (asaasun qawiyun al-ilm), terutama di dalam keilmuan Islam dan sains kemasyarakatan; (2) keyakinan diri atau tsiqah bi an-nafs di dalam meneroka aspek-aspek pemikiran yang berencam; dan (3) rasa rendah diri atau tawwadu’ untuk tidak ‘bertuhan’ kepada diri sendiri sehingga tidak berupaya memperbetulkan pendapat sendiri yang salah dan belajar dari pendapat-pendapat lain yang mungkin benar.

***

Sejumlah artikel telah kami sediakan di dalam edisi ke-2 jurnal Tafkir kali ini. Sebahagian besar dari artikel-artikel ini merupakan upaya para pengkaji, sarjana dan penulis muda yang cuba berinteraksi dan bergumul dengan persoalan-persoalan baru yang mungkin masih di dalam “wilayah yang tak terfikirkan” (dairah al la mufakkar fihi) secara umum di dalam masyarakat Islam. Persoalan gender, perundangan Islam di negara sekular, multikulturalisme, gerakan politik pasca-Islamisme, praktik filantrofi Islam, teologi alam sekitar, bioetika dan hubungan antara agama merupakan antara isu yang dibincangkan. Kami berharap tema-tema ini mendapat tempat di dalam wilayah pemikiran keislaman yang terkedepan dan membumi di dalam konteks masyarakat moden.

Sejajar dengan semangat berwacana, artikel-artikel yang tersedia di dalam jurnal ini tidak mengaku sebagai kata putus terhadap cara kita menanggapi isu-isu yang dibangkitkan. Kami pasti para pembaca juga akan mengambil posisi kritis di dalam membahaskan persoalan-persoalan yang dibangkitkan secara jujur dan sistematik, seperti mana yang telah cuba dilakukan oleh para penulis artikel. Akhirul kalam, kami ingin mengutip semangat Imam al-Syafi’i (w. 820) yang menekankan semangat inklusif di dalam berwacana. Di dalam sebuah dialog dengan muridnya yang bernama Ibrahim al-Muzani (w. 878), beliau berkata: “Wahai Ibrahim, janganlah engkau mengikuti semua ucapanku, tetapi telitilah dan berfikirlah untuk dirimu sendiri / Ya Ibrahim, la tuqalliduni fi kulli ma aqulu wanzhur fi dzalika li nafsika.”

Inilah semangat bertafkir yang ingin kami tegaskan. Semoga bermanfaat!

 

Isi Kandungan

ARTIKEL UTAMA

Ulama dalam Masyarakat Melayu: Peranan dan Cabaran
Dr. Azhar Ibrahim Alwee

Tradisionalisme Agama dan Persoalan Wanita
dalam Masyarakat Moden Malaysia
Norshahril Saat

Visi Islam dalam Emansipasi Wanita: Isu dan Cabaran
Dr. Lily Zakiyah Munir (alm.)

AMLA s. 112 dan Hukum Faraid: Satu Penilaian Kritis
Khairulanwar Zaini

PERSPEKTIF

Akar-Akar Multikulturalisme dalam Islam
Pradana Boy ZTF

Revolusi Pasca-Islamisme
Marwan Bukhari

Filantrofi Islam dan Pembangunan Masyarakat Sivil:
Tumpuan Khusus Indonesia Kontemporari
Irfan Abubakar

Fikih Alam Sekitar:
Upaya Penegakan Hukum dan Jihad Membangun Peradaban Hijau
Achmad Ubaidillah

TOKOH

Abdulaziz Sachedina:
Membangun Teologi Moden Berlandaskan Etika Islam
Muhammad Fadli Mohammed Fawzi

Stereotaip, Diskriminasi dan Hubungan Antara Kaum dan Agama:
Budaya Dialog dalam Masyarakat Plural Singapura.
Wawancara bersama Farid Abdul Hamid

ULASAN BUKU

Syafiq Hasyim, ‘Bebas dari Patriarkhisme Islam’
Norhayati Mohd Ali

Taha Jabir al-Alwani, ‘Tiada Paksaan dalam Agama’
Mohamed Imran Mohamed Taib